PDRM buka bilik gerakan khas aduan aktiviti perjudian - Utusan Malaysia

PDRM buka bilik gerakan khas aduan aktiviti perjudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka bilik gerakan khas di setiap negeri seluruh negara bagi membolehkan masyarakat menyalurkan maklumat dengan mudah berhubung aktiviti perjudian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memerangi gejala judi terutamanya judi dalam talian kerana melibatkan server di luar negara dan pengguna aplikasi telefon bimbit yang menyulitkan tindakan penguatkuasaan.

“Bagi tempoh Januari hingga 20 Julai lalu, seramai 32 individu telah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) berkaitan kesalahan judi dalam talian, judi loteri haram, judi bookie dan judi bebas atau dalam bangunan.

“Perkara ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lalu apabila seramai 34 individu telah dikenakan tindakan mengikut akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semenjak POCA diperkenalkan pada 2 April 2014, seramai 176 individu telah dikenakan tindakan mengikut akta tersebut.

Mohamad Fuzi menambah, bagi tindakan serbuan bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 2,158 serbuan dijalankan untuk perjudian komputer dengan menahan seramai 6,168 individu.

“Polis turut merampas sebanyak 16,345 buah mesin judi bagi tempoh yang sama berbanding 60,010 buah mesin judi pada tahun lalu.

“Bagi perjudian haram pula, sebanyak 8,118 serbuan dijalankan dengan menahan seramai 14,780 individu selain merampas sebanyak 16,275 buah mesin judi,” ujarnya.

Beliau berkata, PDRM sedia maklum segala pandangan yang disuarakan pelbagai pihak dan akan meningkatkan usaha bagi membanteras kemelut perjudian dengan berkesan.

“Ia akan ditingkatkan melalui kerjasama dan tindakan bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kesemuanya mempunyai peranan penting dalam menangani isu berkenaan.

“Kesemua kontinjen di setiap negeri telah membuka bilik gerakan khas bagi memudahkan masyarakat membuat aduan tentang perjudian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan judi di kawasan mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Perlis di talian 04-9082 273, Kedah 04-7741 379, Pulau Pinang 04-2221 722, Perak 05-2451 222, Selanggor 03-5514 5168, Negeri Sembilan 06-7682 340, Melaka 06-2854 222, Johor 07-2254 422, Kelantan 09-7455 636, Terengganu 09-6354 814, Pahang 09-5052 269, Sabah 088-4548 51, Sarawak 082-2742 13, Kuala Lumpur 03-2146 0670 dan Bukit Aman 03-2266 6261. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×