SELAYANG – Dua sahabat masing-masing warga Myanmar dan India didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh pemandu Grab, Aiman Nosri (gambar kecil) yang mayatnya ditemui dalam kereta Perodua Myvi yang dipandunya pada bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada warga Myanmar, Sua Lay, 33, dan Gurpreet Singh, 23, yang merupakan warga India selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sua Lay merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang manakala Gurpreet merupakan seorang kelindan lori.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama membunuh Aiman, 27, di tempat letak kereta di lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves di sini pada pukul 10.08 malam, 21 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.











