Prosedur pelantikan saya sah – Ariff - Utusan Malaysia

Prosedur pelantikan saya sah – Ariff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Prosedur pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak bercanggah dengan Perkara 4(1) Peraturan Mesyuarat seperti didakwa pembangkang.

Menurut bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu, surat yang mencalonkan nama­nya telah diserahkan pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum persidangan Parlimen hari ini dan ia telah disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Sehubungan itu, Mohamad Ariff yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, atas sebab itu polemik mengenai pelantikannya tidak sah atau bercanggah dengan Peraturan Me­syuarat sepatutnya tidak timbul.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia (surat pencalonan pada 2 Julai) disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat. Benda (isu) ini saya tahu media cakap banyak tentang surat pelantikan. Itu bukan caranya.

“Pelantikan adalah berdasarkan bidang kuasa Dewan Rakyat. Kita berpegang kepada kenya­taan Setiausaha Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai tarikh sebenar nama pencalonannya dihantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat berikutan tindakan memboikot pe­lantikan tersebut oleh barisan ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, agenda utama­nya ketika ini adalah meningkatkan pelaksanaan pembaharuan dalam sesi persida­ngan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti sama ada wajar atau tidak untuk mengambil tindakan terhadap barisan pembangkang yang memboikot majlis ang­kat sumpahnya tadi.

“Saya tidak tahu. Saya ingat ia sudah selesai. Ini Malaysia baharu. Semua ada hak demokrasi, kebebasan bersuara,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Ariff dalam ucapannya selepas me­ngangkat sumpah berkata, beliau akan berusaha melaksanakan tugas dengan sepenuh hati dan bebas daripada pengaruh luar demi memelihara martabat serta maruah Dewan.

“Peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mestilah dihayati sebaiknya, dan usaha-usaha pembaikan dan menaik taraf proses penggubalan undang-undang mestilah berterusan supaya Parlimen ini terus dihormati dan disegani segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×