KUALA LUMPUR 14 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Pakatan Harapan mematuhi Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Najib berkata, peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas bahawa nama Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.
“Pada ketika ini, hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Parlimen bermula, identiti Yang Dipertua Dewan Rakyat masih lagi belum dikenal pasti dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam terhadap siapakah yang akan mengisi jawatan itu.
“Parlimen adalah badan tertinggi negara ini. Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi. Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang (Rule of Law),” katanya menerusi Facebook hari ini. – UTUSAN ONLINE











