Bomba terima 86,982 panggilan kecemasan tahun lalu - Utusan Malaysia

Bomba terima 86,982 panggilan kecemasan tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 86,982 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah yang direkodkan itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding 92,307 panggilan pada tahun 2016.

Menurut beliau, panggilan melibatkan kebakaran pada tahun lalu adalah sebanyak 29,356 panggilan, penyelamatan (54,884) dan khidmat khas (2,392) manakala panggilan palsu sebanyak 350 panggilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah keseluruhan panggilan pada tahun 2017 itu menunjukkan penurunan enam peratus berbanding tahun 2016.

“Panggilan kebakaran menunjukkan penurunan yang besar iaitu sebanyak 41 peratus berbanding 49,876 pada tahun 2016. Ini satu perkembangan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, sebanyak 83 peratus panggilan kecemasan pada tahun lalu dihadiri oleh pasukan bomba dalam tempoh kurang 20 minit, namun sasaran sebenar sampai ke lokasi kejadian adalah dalam tempoh kurang 10 minit.

Justeru, katanya, penekanan JBPM pada masa ini adalah untuk meningkatkan peratus ketibaan pasukan bomba di tempat kecemasan dalam tempoh kurang 10 minit yang kini pada tahap 48 peratus.

Sementara itu, katanya, terdapat sebanyak 40 buah Balai Bomba dan Penyelamat sedang dalam pembinaan sebagai tambahan kepada 294 Balai Bomba dan Penyelamat sedia ada di seluruh negara. 

Sehubungan itu, beliau percaya masa untuk pasukan bomba respons ke tempat kecemasan akan dapat dipertingkatkan pada masa depan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×