Tokoh bahasa jumpa Dr. Maszlee - Utusan Malaysia

Tokoh bahasa jumpa Dr. Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Julai – Sekumpulan tokoh bahasa yang mewakili gabungan Muafakat Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan bahasa dan pendidikan di Kementerian Pendidikan, dekat sini semalam.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, cadangan serta teguran yang disampaikan pihaknya diterima baik oleh Dr. Maszlee dan beliau berharap sesi dialog kali ini akan membuahkan hasil yang lebih baik untuk masa depan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan.

“Pihak kami menyampaikan teguran, harapan dan cadangan kepada Menteri Pendidikan tentang enam isu pokok, iaitu pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara jelas dan tekal, pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat persekolahan dan pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi.

“Selain itu, pertemuan ini juga membincangkan usaha untuk membina kepustakaan ilmu dan kreatif dalam bahasa Melayu termasuk peranan terjemahan, peningkatan dan globalisasi sastera dan ilmu dalam bahasa Melayu serta Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perangkap dasar dan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut kelihatan dalam pertemuan tersebut, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×