KUCHING 14 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat dakwaan terdapat pemborong mengekalkan harga barangan meskipun kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah dimansuhkan sejak 1 Jun lalu.
Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut termasuk menggunakan perundangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Pegawai kami akan turun ke bawah menyemak sama ada siapa yang mengekalkan harga secara tanpa keperluan dan tidak munasabah.
“Kesemua perniagaan mahu keuntungan namun yang tidak munasabah itulah dikatakan sebagai pencatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Komuniti Stutong di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Datuk Stanley Tan dan Timbalan Pengarahnya, Md. Nawawi Ab. Rahman.
Semalam, beberapa pengusaha restoran mendakwa bahawa terdapat pemborong yang mengekalkan harga bahan tertentu meskipun kadar sifar GST.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bagi barangan makanan sebelum ini juga dikecualikan GST maka tidak jelas kelihatan penurunan harga terlibat.
“Kemungkinan kos pengurusan terlibat hanya menurun sedikit.
“Bagaimanapun, secara amnya harga barangan adalah stabil seperti yang dapat kita lihat di pasar raya dan seperti di pasar komuniti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











