KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui nelayan di tepi tebing Sungai Selangor berdekatan jeti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Kuantan di sini petang semalam dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam melaporkan penemuan mayat lelaki itu pada pukul 2.50 petang sebelum mendapatkan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi operasi mengambil mayat.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Mustamin berusia lingkungan 30-an itu bekerja di kebun kelapa sawit di kawasan Kampung Sepakat.
“Daripada maklumat diperoleh, mangsa dipercayai telah keluar dari rumahnya di Kampung Sepakat pada pukul 12.30 tengah hari Rabu lalu dan tidak balik sehingga mayatnya dijumpai mati lemas petang semalam,” katanya.
Menurut Md. Asri, hasil pemeriksaan pada keseluruhan badan mangsa mendapati tiada sebarang tanda kematian mangsa adalah disebabkan berlakunya kejadian jenayah.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan lemas,”ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Selangor, Mohd. Al Hafiz Asmuni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.53 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba, Ismayudin Ibrahim digerakkan ke lokasi kejadian.
Pihaknya juga mendapat bantuan aset sebuah bot penyelamat dari BBP Bestari Jaya.
“Sebaik mendapat maklumat kedudukan mayat, anggota penyelamat dengan menggunakan sebuah bot penyelamat menjalankan operasi mengambil mayat mangsa dan dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE











