KUALA LUMPUR 14 Julai – Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berasa senang dengan pertemuan beliau bersama dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam satu rakaman video yang dikongsi di WhatsApp kepada rakan media Malaysia, kelihatan Jokowi dan Syed Saddiq berada dalam sebuah kenderaan dan berbual mesra tanpa protokol. Dalam perbualan itu kedengaran Jokowi memanggil Syed Saddiq sebagai Bro Saddiq dan mengucapkan ‘terima kasih Bro’ kepada beliau.
“Ini saya satu mobile dengan bro Saddiq. Saya senang sekali ada menteri yang smart, cerdas satu mobil bersama saya. Malaysia dan Indonesia sebagai serumpun marilah kita bekerjasama dalam segala bidang.
“Dalam segala bidang. Pelaburan, pedagangan, hubungan tenaga kerjasemuanya harus baik, semua harus baik. Terima kasih Bro,” kata Jokowi. Syed Saddiq berada di Indonesia sejak malam tadi atas urusan kerja.
Beliau turut bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi untuk berbincang mengenai Sukan Asia ke-18 yang akan berlangsung di Indonesia.
Turut dibincangkan mengenai insiden pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) diserang penyokong tempatan selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo kelmarin.
“Berkaitan dengan isu provokasi penonton Indonesia terhadap perlawanan Malaysia dan Indonesia separuh akhir Piala AFF Bawah 19. Pak Imam Nahrawi telah menyatakan dalam kenyataan media dengan tegas bahawa pihak yang tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan,” kata Syed Saddiq.-UTUSAN ONLINE











