PERTH 13 Julai – Seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan ketika cuba memasuki negara ini selepas beberapa video mengandungi bahan lucah dan keganasan ditemukan dalam telefon pintar miliknya ketika pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dekat sini.
Lelaki berusia 43 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu dikatakan baru sahaja tiba di Perth dari Kuala Lumpur semalam.
Dia ditahan di bahagian tahanan imigresen dan dihantar pulang ke Malaysia hari ini selepas visa pelancong miliknya dibatalkan dan telefonnya dirampas.
Komander Wilayah Anggota Sempadan Australia untuk Australia Barat, Mark Wilson berkata, video yang ditemukan dalam telefon lelaki terbabit berbentuk kejam dan melanggar undang-undang Australia.
Bagaimanapun, Wilson enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai video berkenaan.
“Video yang berbentuk seksual dan keganasan tidak diterima dalam komuniti kami. Sesiapa yang didapati terlibat, dilarang untuk berada di negara ini,” tegasnya. – AFP











