Jabatan Peguam Negara akan kaji semula semua kes hasutan - Utusan Malaysia

Jabatan Peguam Negara akan kaji semula semua kes hasutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji semula semua kes hasutan yang sedang berjalan susulan dasar semasa oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk, kata Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Rayuan di sini hari ini. 

Bagaimanapun Wan Shaharuddin berkata, semakan itu hanya akan dilakukan bagi kes yang telah mengemukakan surat atau representasi sah kepada AGC.

Jelasnya, kajian itu akan dilakukan berdasarkan bukti dan dasar kerajaan baharu, sehubungan itu beliau memohon penangguhan bagi kes rayuan yang difailkan oleh bekas anggota Parlimen N. Surendran.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Surendran tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan 31 Ogos bagi pengurusan kes. Dua lagi hakim ialah Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Surendran mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya pada 14 April 2016 untuk merujuk tiga persoalan undang-undang mengenai perlembagaan di bawah Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×