Bekas pekerja berhutang, tauke diugut - Utusan Malaysia

Bekas pekerja berhutang, tauke diugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Julai – Seorang pemilik bengkel cat kereta hidup dalam ketakutan apabila menerima ugutan termasuk rumahnya disimbah cat merah oleh ceti haram atau ah long kelmarin meskipun tidak pernah berhutang.

Mangsa, Chay Mook Kowong, 61, dari Taman Kota Masai, Pasir Gudang menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 23 Mei lalu yang mendakwa bekas pekerjanya yang dikenali dengan nama Kent ada berhutang sebanyak RM1,800.

“Ah long memberitahu saya ada hutang dengan Kent. Justeru, saya harus melangsaikan hutang Kent kepada ceti haram berkenaan.

“Saya beritahu ah long berkenaan bahawa saya tidak pernah berhutang dengan Kent dan saya tidak membayar hutang tersebut kepada ah long kerana bukan saya yang berhutang dengan mereka,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA, Michael Tay Chee Boon di sini sebentar tadi.

Mook Kowong berkata, dia hidup dalam tekanan apabila ah long mendakwa hutang tersebut meningkat menjadi RM8,000 selain mendapat ugutan kedainya yang telah diusahakan sejak 1975 mahu dibakar ah long berkenaan.

Dia yang bimbang dengan keselamatan isteri berusia 60, anak lelakinya berusia 25 tahun dan cucu perempuan berusia setahun setelah rumah mereka disimbah cat oleh ah long berkenaan bertindak membuat tiga laporan polis di Balai Polis Masai di sini termasuk yang terbaharu kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×