Dua cucu yang hilang memancing ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Dua cucu yang hilang memancing ditemukan lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARUDI 23 Jun – Mayat dua cucu yang hilang bersama datuknya ketika memancing di Jeti Sungai Baram ditemukan berdekatan lokasi dipercayai mereka jatuh sebentar tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mayat mangsa kedua dikenal pasti sebagai Mohd. Zafril Wasli, 13, ditemukan pada pukul 1.03 petang manakala Mohd. Alyee Ong Zulkifli, 14, pada pukul 2 petang tadi.

“Mangsa kedua ditemukan dengan kaedah pancing oleh orang kampung manakala pasukan Skuba Bomba Zon Miri pula menemukan Mohd. Alyee.

“Kawasan itu sememangnya dalam yang melebihi lapan meter dengan tahap penglihatan sifar ketika menyelam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Semalam, seorang datuk ditemukan lemas manakala dua cucunya masih hilang ketika pergi memancing dipercayai di atas bot ekspres yang berlabuh di Jeti Sungai Baram semalam.

Kira-kira pukul 7 pagi, mayat Sujai Jaraee,72, ditemukan terapung di tepi bot ekspres di jeti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu memasuki hari kedua telah dimulakan pada pukul 6 pagi tadi.

“Operasi SAR dijalankan dengan teknik pencarian di permukaan air menggunakan bot sekitar radius satu kilometer (km) dan pencarian di sekitar tebingan sungai menggunakan kaedah cangkuk besi, memancing dan menjala.

“Lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bagi membantu operasi,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN