KUALA LUMPUR – Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bermula serentak di 191 bahagian pada 9 pagi ini.
Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi dua kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan yang akan berlangsung pada sebelah pagi.
Kertas undi pertama adalah untuk pemilihan ketua, naib ketua dan 15 exco sayap peringkat bahagian manakala satu lagi kertas undi untuk memilih kepimpinan sayap pusat bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 25 exco sayap.
Bagi sayap Pergerakan Wanita UMNO, seramai tiga tokoh layak bertanding untuk jawatan Ketua Wanita, iaitu Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd. Dun sementara empat lagi dicalonkan bagi Naib Ketua Wanita.
Seramai 81 calon bertanding untuk jawatankuasa, dua calon bagi jawatan Pengerusi Tetap Wanita, manakala empat lagi bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap. – Bernama










