BRONNITSY, Rusia 22 Jun – Argentina hari ini menafikan bahawa pemainnya mahu jurulatih Jorge Sampaoli dipecat sebelum saingan terakhir Kumpulan D menenentang Nigeria berikutan kekalahan memalukan 0-3 kepada Croatia, kelmarin.
“Ia sudah tentu berita palsu,” menurut kenyataan rasmi pasukan Argentina.
Menurut kenyataan tersebut, segalanya mengenai perbincangan di kalangan pemain adalah tidak benar.
Berikutan aksi menentang Croatia kelmarin, terdapat laporan dalam akhbar tempatan dan antarabangsa mengenai perbalahan antara pemain dengan pihak kejurulatihan.
Juga terdapat cadangan bahawa Jorge Burruchaga yang pernah memenangi Piala Dunia 1986 dan kini menjadi Pengarah Teknikal Argentina mengambil alih pasukan berkenaan untuk memastikan kemenangan ke atas Nigeria.
“Mereka mahu memecat Sampaoli, membawa masuk Burruchaga dan mengikut jejak Sepanyol,” kata Ricahrdo Caruso Lombardi yang pernah membimbing beberapa kelab Argentina.
Sepanyol memecat jurulatih Julen Lopetegui menjelang Piala Dunia selepas mengumumkan dia akan menggantikan Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu.
Argentina yang kalah di pusingan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia sejak 1958 kepada Croatia, menderita selepas hanya seri 1-1 dengan Iceland sebelum itu. – AFP











