KUALA LUMPUR 22 Jun – Projek pembangunan hartanah bernilai RM6 bilion milik Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini kini dilewatkan ke tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, kelewatan pembangunan hartanah di atas tanah miliknya berdekatan stesen-stesen kereta api Lembah Klang itu adalah ekoran beberapa isu termasuk kekangan kewangan.
“Kita sedang mengatasi masalah itu dengan melihat sumber-sumber lain untuk suntikan kewangan.
“Mungkin kita akan mulakan awal tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.
Projek pembangunan hartanah berkenaan merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan pendapatan dalam segmen bukan pengangkutan.
Mengenai prestasi perkhidmatan itu, Mohd. Rani berkata, KTMB telah menunjukkan peningkatan dalam metrik operasi dan yakin akan dapat terus meningkatkan kecekapan dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
“Kami juga dalam usaha meningkatkan perkhidmatan penumpang dan kargo,” ujarnya.
Mengenai kedudukan kewangan pul, Mohd. Rani berkata, KTMB masih mampu menguruskan aliran tunai meskipun dalam situasi semasa yang sedikit ‘ketat’.
Sebelum ini KTMB dilaporkan mencatatkan kerugian terkumpul RM2.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.











