(Stadium Darul Makmur, Kuantan 9 malam)
SELANGOR lwn PKNS FC
(Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras 9 malam)
KUANTAN 22 Jun – Skuad Tok Gajah komited memastikan pasukan itu layak ke perlawanan akhir Piala FA seterusnya melakar nama selaku juara bagi kempen edisi 2018.
Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, pasukan itu tidak akan mensia-siakan peluang untuk menjulang Piala FA sejak mereka berjaya melangkah ke peringkat suku akhir lagi.
Bagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Makmur malam esok, beliau berkata, Pahang akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan bertemu pasukan PKNP FC tersebut.
“Apabila melepasi suku akhir, kita akan teruskan sehingga ke peringkat seterusnya (separuh akhir) dan final kerana memang matlamat kita untuk sekurang-kurang menang satu piala pada musim ini,” katanya di sini hari ini.
Bagi mencapai hasrat layak ke perlawanan akhir Piala FA, Dollah meminta pemainnya mengekalkan prestasi pada tahap terbaik jika benar-benar ingin meraih kejuaraan.
“Kalau semua pemain boleh kekal dengan disiplin dan berada pada tahap prestasi terbaik, saya percaya pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” tambahnya.
Sementara itu, tonggak tengah Tok Gajah, Mohamadou Sumareh berkata, adalah menjadi hasratnya untuk memastikan skuad itu menjulang piala pada musim ini.
“Penglibatan saya pada Liga Malaysia sejak 2013 tidak akan memberi apa-apa makna kalau tidak memenangi sebarang piala,” katanya. – UTUSAN ONLINE











