TIDAK boleh disangkal bahawa pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura minggu lalu adalah pertemuan bersejarah bukan sahaja untuk 2018 malah dekad ini. Bersejarah kerana beberapa bulan sebelum itu kedua-dua pemimpin ini begitu retorik sehingga membayangkan akan tercetusnya peperangan di Semenanjung Korea sementara Pyongyang mengugut akan melancarkan peluru berpandu ke arah AS.
Masih dibahaskan sama ada pertemuan tersebut telah membuahkan keadaan keselamatan rantau Asia Pasifik yang lebih stabil tetapi apa yang penting ialah saluran komunikasi telah terbuka terutama sekali buat Korea Utara yang selama ini hanya sedikit diketahui senario kepemimpinan dan kehidupan seharian negara tersebut.
Sebab itu dihujahkan agak menarik juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara Asia, John Matthew Pottinger ketika beliau mengutus surat ucapan tahniah Trump kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa hari lepas.
Pottinger dalam rangka lawatan ke Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan pegawai kerajaan dan dewan perniagaan AS antara lain menumpukan perhatian mengenai iklim perniagaan di Malaysia. Beliau menegaskan hubungan dua hala AS-Malaysia melangkaui parti politik dan berharap kedua-dua negara akan terus bekerjasama memperkukuhkan hubungan yang terjalin sebelum ini.
Ulasan Pottinger menjadi lebih menarik apabila menegaskan Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung November ini di Singapura memungkinkan pertemuan antara Trump dan Dr. Mahathir buat pertama kali setelah kedua-dua pemimpin berkenaan menerajui negara masing-masing. Perlu juga ditekankan bahawa Trump telah pun menerima jemputan lawatan rasmi ke Singapura pada November ini dan sebab itu juga diunjurkan berkemungkinan besar Trump juga akan melakukan lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada waktu yang sama.
Mengapa dikatakan pertemuan Dr. Mahathir-Trump dijangka menarik adalah disebabkan gaya kepemimpinan mereka berdua yang agak berbeza dan menjadi lebih ketara jika dikaitkan dengan senario geopolitik semasa. Besar kemungkinan akan berlaku pertembungan akibat perbezaan ini kerana Trump begitu taksub dengan dasar mendahulukan kepentingan AS sementara Dr. Mahathir pula sinonim dengan prinsip menjaga kepentingan negara kecil.
Pertemuan di antara Dr. Mahathir-Trump dijangka tetap berlaku tidak kira sama ada Presiden AS akan melakukan lawatan ke Malaysia atau sebaliknya kerana kehadiran Trump di Singapura pada November ini adalah sempena berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN-AS keenam dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-13 yang berkemungkinan akan turut disertai Dr. Mahathir.
Ketika Dr. Mahathir melakukan lawatan ke Jepun dua minggu lalu, beliau telah menyarankan supaya idea penubuhan Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) dikaji semula demi memberi peluang yang lebih baik bagi negara kecil untuk bersaing dalam era perdagangan tanpa batasan. Perlu diberi perhatian idea EAEC ini mula dicetuskan oleh Dr. Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada 1997 tetapi ditentang oleh AS pada ketika itu. Sama ada Mahathir akan mencetuskan idea EAEC ini sekali lagi pada November akan datang belum dapat dipastikan lagi.
Pada Mac lalu, Trump telah menuduh beberapa negara seperti China, Kanada dan juga Malaysia telah menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa secara tidak adil sehingga merugikan AS dalam bentuk defisit perdagangan. Umpamanya Trump mendakwa Malaysia mempunyai lebihan nilai dagangan sebanyak AS$25 bilion tetapi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hanya meletakkan defisit tersebut hanya AS$6 bilion sahaja.
Isu defisit dagangan ini adalah penyebab utama hubungan ekonomi di antara AS dengan China dan juga Kanada ketika ini yang dikatakan agak panas kerana menurut Trump defisit ini tidak adil dan merugikan rakyat AS. Setakat ini tindakan Trump secara spesifik terhadap Malaysia akibat faktor defisit ini belum lagi jelas dan menjadi harapan situasi sebenar dapat dibincangkan apabila kedua-dua pemimpin ini bertemu kelak. Ini adalah kerana angka defisit AS$25 bilion yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdagangan AS dan AS$6 bilion oleh MITI Malaysia adalah begitu ketara bezanya.
Tetapi isu yang paling menarik adalah mengenai perairan Laut China Selatan yang menyaksikan tuntutan bertindih di antara empat anggota ASEAN dan China. Apabila Dr. Mahathir menegaskan dasar Kuala Lumpur mengenai kehadiran kapal perang asing di perairan ini, ia agak bertentangan dengan dasar AS.
Ketika ini kehadiran kapal perang AS di Laut China Selatan dilangsungkan melalui Program Kebebasan Pelayaran (FoN) oleh tentera laut AS (USN) demi memastikan laluan itu selamat untuk semua kapal dagang. Kegusaran Dr. Mahathir mengenai kehadiran kapal perang asing adalah bersangkut paut dengan strategi FoN AS yang menggunakan kapal perang USN untuk menyusuri beberapa terumbu yang ditambak oleh China di gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel.
Tindakan seperti itu sering menimbulkan ketegangan dan China lazimnya melaksanakan tindak balas mereka sendiri dan senario seperti itu yang mahu dielakkan oleh Malaysia dan juga beberapa anggota ASEAN yang lain.
Sebab itu diandaikan pertemuan di antara Dr. Mahathir-Trump yang bakal berlaku November ini sama ada di Singapura atau Kuala Lumpur akan mendapat perhatian kerana bukan sahaja kerana faktor strategi kepemimpinan yang agak bertentangan di antara kedua-dua pemimpin tersebut tetapi beberapa isu sensitif yang bakal dibincangkan nanti mampu memberi implikasi geopolitik global.











