MARANG 21 Jun – Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Yahaya Ali,61, disebut-sebut bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dalam persidangan pertama pada 1 Julai depan.
Yahaya yang juga bekas Exco kerajaan negeri di era pentadbiran kerajaan Pas selama sepenggal mulai 1999 dan juga Yang Dipertua Pas Marang tidak lagi dicalon dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu selepas tewas kerusi Alor Limbat pada 2004.
Namun Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini ketika diminta penjelasan tidak memberikan sebarang pengesahan.
Beliau berkata, pengisytiharan pelantikan hanya akan dibuat pada hari pertama sidang DUN pada awal bulan depan.
“Kita tunggu dan lihat siapa yang bakal dilantik pada 1 Julai nanti,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Yang Dipertua DUN akan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada hari pertama sidang pertama DUN selepas PRU-14 bulan lalu yang menyaksikan Pas membentuk kerajaan dengan memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN dan enam daripada lapan kerusi Parlimen.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husin Awang yang juga bekas yang Dipertua DUN dan turut tidak dicalonkan dalam PRU-14 lalu bersama Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Salleh pula dijangka akan dilantik sebagai senator. – UTUSAN ONLINE











