Penyiapan projek TRX akan suntik keyakinan pelabur asing - Utusan Malaysia

Penyiapan projek TRX akan suntik keyakinan pelabur asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 21 Jun – Langkah kerajaan memberi suntikan dana sebanyak RM2.8 bilion serta keputusan meneruskan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) akan dapat memberi keyakinan kepada para pelabur asing yang terbabit dalam projek tersebut.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri  Kewangan Lim Guan Eng berkata setakat ini,  TRX City Sdn Bhd telah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development, HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM.

“Projek berkenaan mendapat banyak minat dan pelaburan asing dan akan memberi kesan sekiranya ia gagal disiapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Atas alasan itu, kita mahu memberi jaminan kepada pelabur-pelabur tempatan dan asing bahawa pelaburan mereka tidak akan terjejas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata, suntikan RM2.8 bilion itu akan dibuat secara berperingkat sehingga 2024.

Malah, pada tahun ini, kerajaan menyasarkan untuk menyalurkan sejumlah RM344 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan bagaimanapun akan melaksanakan penilaian kejuruteraan bagi mengurangkan kos pembinaan TRX yang kini siap 80 peratus.

Ditanya sama ada suntikan dana oleh kerajaan itu merupakan sumber pembiayaan terakhir TRX, beliau berkata adalah sukar untuk mencari saluran lain memandangkan kaitan projek itu dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini