KOTA BHARU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan beliau meminta nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menguruskan parti itu.
Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, beliau dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi tahu bagaimana untuk menguruskan parti tanpa perlu campur tangan daripada pihak ketiga.
“Saya ingin menjelaskan saya tidak pernah meminta nasihat Tun (Dr. Mahathir) bagaimana untuk menguruskan UMNO. Saya dan rakan-rakan tahu untuk menguruskan parti kami sendiri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Anggota Jawatankuasa UMNO Empat Peringkat di Dewan UMNO Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa calon yang akan bertanding dalam pemilihan UMNO, antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Noh Omar.
Awal bulan ini, Ahmad Zahid dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di Putrajaya selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lepas. – Bernama











