Inflasi: Malaysia tidak bimbang - Utusan Malaysia

Inflasi: Malaysia tidak bimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Jun – Rakyat Malaysia sudah menikmati satu daripada kadar inflasi yang terendah di Asia Tenggara, dan dengan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pengguna memperoleh keuntungan tambahan.

Kadar enam peratus GST telah ditamatkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi memenuhi janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan diperkenalkan sehingga September. Kerajaan baharu juga per­kenalkan semula subsidi sebahagian harga minyak domestik bagi sepanjang tahun ini.

Langkah itu menurunkan tekanan buat inflasi dan memberi skop kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) selepas kenaikan pada awal Januari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi Australia & New Zealand Banking Group Ltd., Khoon Goh turut mengurangkan unjuran inflasi kepada 0.7 peratus daripada 2.7 peratus sebelum ini.

Masanya tepat buat bank pusat yang berdepan dengan ketidaktentuan berikutan peletakan jawatan gabenor, Muhammad Ibrahim secara tiba-tiba dan kini masih tiada pengganti.

Kelembapan inflasi itu memberi BNM tempoh bertenang ketika negara di Asia lain terus meneliti untuk mengetatkan dasar kewangan ketika kejatuhan mata wang dalam pasaran baharu muncul.

“Ini adalah satu langkah dasar yang sangat penting,” kata Penganalisis Ekonomi Nomura Holdings Inc. Singapura, Euben Paracuelles, yang mengurangkan ramalan inflasi daripada 2.5 peratus kepada 1.3 peratus.

“Dengan inflasi yang lebih rendah, kami menjangkakan kenaikan OPR yang dilakukan awal tahun ini pertama dan terakhir, walaupun ia bergantung kepada gabenor baharu.”

Bekas Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd. Yunus telah disebut-sebut untuk menggantikan Muhammad sebagai gabenor, yang berhenti ketika pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai perjanjian pembelian tanah BNM yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Bloomberg

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini