SEKUAT kocakan air di kolam renang, begitu juga kuat tamparan yang diterima kem terjun negara setelah terpaksa mengalami perubahan drastik ekoran pertukaran barisan kejurulatihan tahun lalu.
Skuad prospek pingat negara yang baru melalui pelbagai episod duka tahun lalu kini menghadapi cabaran besar untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan teknik latihan baharu.
Lebih parah, keupayaan mereka terus diuji di pentas temasya kedua terbesar dunia, Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu yang menyaksikan suasana suram terus menyelubungi skuad kebangsaan apabila rata-rata mereka gagal menyerlah.
Skuad wanita masih bersinar dengan sebutir emas dan dua pingat gangsa, sekali gus mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding empat tahun lalu, namun skuad terjun lelaki tenggelam dalam ‘lautan’ Komanwel.
Pingat emas terjun diperoleh daripada gandingan ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan juara dunia, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita, manakala dua gangsa milik Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 10m platform seirama dan 3m platform seirama.
Situasi sebaliknya berlaku dalam kem lelaki apabila terlepas menyumbang sebarang pingat Sukan Komanwel buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun dengan Ooi Tze Liang gagal mempertahankan emas menerusi acara 3m papan anjal individu.
Difahamkan, skuad wanita pada ketika itu di bawah latihan jurulatih China, Zhang Yukun, manakala skuad lelaki di bawah jurulatih Australia, Christian Brooker.
Bagaimanapun, rombakan dibuat menjelang Kejohanan Terjun Piala Dunia di Wuhan, China minggu lalu apabila kesemua atlet beralih di bawah bimbingan Yukun kecuali Chew Yi Wei masih di bawah tunjuk ajar Brooker dan Muhammad Syafiq Puteh pula diselia seorang lagi jurulatih, Li Teng.
Hal ini kerana dua penerjun Olimpik, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman telah memohon untuk kembali bersama Yukun setelah mendakwa mereka lebih sebati dengan teknik dan corak terjunan dari China berbanding Eropah.
Perkara itu mengecewakan Brooker yang beranggapan bahawa penerjun perlu sentiasa bersedia untuk keluar dari kepompong mereka dan lebih terbuka dengan perubahan baharu.
Menurutnya, Tze Liang dan Amsyar telah memaparkan peningkatan yang konsisten pada terjunan mereka, namun masing-masing lebih selesa kembali kepada gaya lama dan enggan mengambil risiko.
“Setiap penerjun memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing. Sesetengah kelemahan mereka adalah isu teknikal, fizikal dan psikologikal yang kami sedang berusaha keras dan perlu masa untuk atasinya.
“Amsyar dan Tze Liang berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan teknik moden dan Barat saya. Sesetengah orang tidak mahu keluar dari zon selesa, namun itulah yang diperlukan untuk penambahbaikan terjunan,” ujar Brooker ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun, penerjun lain yang boleh menerima teknik pengajaran kini dalam proses pembikinan dan lebih masa diperlukan sebelum mereka mampu menunjukkan hasilnya di pentas kejohanan.
“Penerjun lain yang boleh menerima teknik kontemporari saya telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Kami perlu tunggu sehingga mereka sebati dengan teknik tersebut sebelum biarkan mereka mempraktikkannya di bawah tekanan tinggi.
“Walaupun Yi Wei memaparkan aksi kurang memuaskan pada Piala Dunia tapi itu hanyalah permulaan. Kalau dia mahu untuk berdaya saing pada peringkat dunia, dia perlu melalui banyak ‘uji kaji’ sebelum betul-betul mahir sesuatu teknik,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia pada Ogos nanti, Brooker tidak menolak kemungkinan terdapat perubahan sekali lagi, namun enggan bercerita lanjut sehingga perbincangan bersama pasukan kejurulatihan seterusnya.
“Kami tidak akan lakukan apa-apa perubahan selagi tidak balik daripada Piala Dunia. Jika ada perubahan, ia mesti berdasarkan kuota atlet bertanding yang dikeluarkan Majlis Olimpik Malaysia.
“Kami akan buat keputusan terbaik buat setiap atlet dan cuba meluaskan lagi potensi kami untuk mendapatkan keputusan lebih baik,” ujarnya.











