Beraya, jangan main terjah! - Utusan Malaysia

Beraya, jangan main terjah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERSENYUM saya membaca tulisan seorang rakan di dalam akaun laman sosialnya mengenai adab-adab atau tip bertandang ke rumah sanak saudara atau kawan-kawan dalam sebulan kita berhari raya ini. Antara yang paling mencuit hati kerana saya turut mengalami pengalaman yang sama sebagai tuan rumah – janganlah pandai-pandai atau rajin sangat hendak menghantar pinggan atau gelas yang sudah digunakan ke dapur de­ngan tujuan untuk membasuhnya, jika telah dilarang berulang kali oleh tuan rumah.

Katanya, manalah tahu, sebenarnya larangan itu bukan kerana tidak mahu tetamunya bersusah payah membasuh pinggan berkenaan, tetapi lebih kepada tidak mahu tetamu melihat dapur rumah yang berselerak seperti tongkang pecah!

Faham sajalah, apabila ramai yang datang ke rumah dari pagi hingga ke malam, tuan rumah tidak sempat untuk mengemas dapur. Jadi jangan tunjuk rajinlah. Tidak semua tuan rumah suka tetamu berbuat begitu. Janganlah buat tuan rumah jadi tidak selesa pula, terangnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memang di hari raya ini, amalan kunjung mengunjung dilakukan sehingga sebulan. Pun begitu ada yang sampai terlajak beberapa hari selepas habisnya bulan Syawal. Apa pun selain tujuan utama mengeratkan silaturahim, perkara yang perlu diingatkan adalah berkunjung juga mempunyai adab-adabnya. Jangan main langgar atau terjah sahaja.

Bukan semua orang mempunyai masa terluang yang sama dengan kita. Kena tengok waktu yang sesuai. Waktu Maghrib misalnya, harus dielakkan kerana masanya yang singkat. Tuan rumah akan jadi kelam-kabut. Mana mahu menyiapkan hidangan, melayan tetamu dan mahu bersolat.

Dan saya juga percaya, kita sudah biasa mendengar cerita daripada rakan-rakan mengenai ada yang beraya sampai ke tengah malam. Tidak semua tuan rumah biasa bersengkang mata. Ada yang pukul 9 malam mata sudah kuyu. Yang tetamu pula, tidak faham-faham teruskan bersembang sehingga lewat malam.

Yang kaki bola pula, ketika ini Piala Dunia FIFA 2018 sedang berlangsung. Janganlah hendak tengok sehingga habis perlawanan mana-mana pasukan kegemaran ketika beraya di rumah kawan atau saudara mara. Entah-entah tuan rumah tidak minat sukan itu dan terpaksa pula me­nunggu lama tetamunya untuk pulang. Ini boleh juga berlaku.

Turut diberikan penekanan, oleh rakan saya itu di dalam Facebooknya, ibu bapa harus mengawal anak-anak kecil. Jangan biarkan anak mereka melompat-lompat di atas sofa, berlari ke sana ke sini sehingga terlanggar orang lain atau memecahkan barang-barang kaca yang ada di dalam rumah.

Bab ini memang saya sokong, kerana saya perhatikan ada ramai ibu bapa walau di mana sahaja, suka membiarkan anak-anaknya bebas seperti itu. Bebas menjerit di tempat yang tak sepatutnya. Bebas memegang apa saja tanpa dilarang atau ditegur. Bila sudah berlaku kemala­ngan kecil orang lain disalahkan. Bila ada barang yang rosak atau pecah, ibu bapa buat tidak tahu saja. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Bagi saya pula, yang paling tidak kena ketika berkunjung ke rumah orang pada hari raya ini adalah bercerita tentang hal-hal politik. Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 baru saja berlalu bulan lalu, ramai yang masih tak kebah-kebah demam pilihan raya. Sudahlah. Simpan sajalah cerita politik ini. Elok-elok hendak bermaaf-maafan, jadi pergaduhan pula kerana tidak sealiran ideologi politik.

Dan yang juga penting adalah jangan ketika berbual, mata asyik menjeling telefon pintar. Bukankah tidak elok, bila tuan rumah berborak, tetamu tidak menumpukan perhatian, malah tangan sibuk melayan mesej-mesej daripada kawan-kawan yang boleh saja dilakukan pada waktu lain.

Memang banyak perkara yang dilarang ketika beraya. Dan saya juga sentiasa mengingatkan anak-anak dari dulu sehingga sekarang, jangan sesekali meminta duit raya daripada tuan rumah. Sekarang ini, bukan saja budak-budak muka selamba meminta duit raya, yang dewasa pun sama naik juga. Itu yang membuatkan tuan rumah terpaksa menyediakan duit raya, walau sebenarnya dia terpaksa ikat perut menunggu gaji hujung bulan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini