Alibaba buka pejabat di Malaysia - Utusan Malaysia

Alibaba buka pejabat di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jun – Syarikat e-dagang terbesar, Alibaba Group Holding Ltd. membuka pejabat nasional di negara ini, sekali gus menandakan fasa baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) pertamanya di luar China.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha berterusan syarikat itu bagi meningkatkan kapasiti teknologi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan muda serta membantu mereka mendapat manfaat daripada inovasi digital dan peluang perdagangan.

Malah, kata beliau, selain berfungsi sebagai one-stop solution centre, pejabat itu akan bertindak sebagai penghubung kepada rakan niaga sedia ada dan membantu jenama Malaysia, peruncit, ahli perniagaan mahupun rakan kongsi kerajaan mendapatkan akses dan peluang yang ditawarkan China serta dunia dalam bidang e-dagang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mendapati banyak orang muda di sini yang menunjukkan minat begitu mendalam dalam ekonomi digital. Jadi Alibaba komited untuk memperkasakan ekonomi digital usahawan muda tempatan sehingga ke pe­ringkat global,” katanya dalam majlis pelancaran pejabat pertama syarikat itu di negara ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Pada majlis itu, Jack Ma turut me­lancarkan kempen Malaysia Week, satu inisiatif dalam talian yang akan mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan tempatan bermula 6 hingga 12 Julai depan.

Kata beliau, kempen tersebut akan mempamerkan produk dan perkhidmatan Malaysia yang bertemakan must-see, must-eat and must-experience di platform Alibaba.

Jelas beliau, lebih 50 jenama Malaysia dan pelbagai produk tempatan akan dipamerkan di sam­ping aktiviti promosi yang menarik sepanjang tempoh berkenaan.

“Malaysia Week merupakan hasil perbincangan antara Alibaba Group dan negara ini sejak pelancaran eWTP. Kami mahu pengguna dari China mengetahui produk-produk Malaysia. Jadi, kami harap dapat meneruskan kempen itu bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya mengalu-alukan komitmen Alibaba yang bakal membantu membuka pelaburan baharu, peluang pekerjaan dan meningkatkan peluang ekonomi rakyat negara ini.

Kata beliau, pihaknya melihat wujud peluang bagi meningkatkan PKS, susulan pelancaran eWTP pertama di luar China dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada tahun lalu.

Kata beliau, eWTP dan DFTZ akan menggalakkan lagi PKS terlibat dalam e-dagang dan meningkatkan eksport mereka ke negara Asia.

“Kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Cainiao untuk membentuk Cainiao – KLIA Aeropolis Sdn Bhd juga akan meningkatkan jumlah kargo di KLIA dengan ketara. Apa yang lebih penting, usahasama itu membentuk strategi lebih besar dalam menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang dan logistik di Asia Tenggara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini