PUTRAJAYA 18 Jun – Institusi perbankan di Jepun telah menunjukkan sentimen positif terhadap permintaan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman mudah bagi mengatasi masalah kewangan yang dialami negara.
![]() |
|
WAN AZIZAH WAN ISMAIL menerima kunjungan hormat Makio Miyagawa di pejabatnya di Putra Perdana, Putrajaya, semalam. BERNAMA
|
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa berkata, respons positif itu disampaikan oleh pemimpin-pemimpin institusi tersebut sendiri ketika beliau mengadakan perjumpaan dengan mereka di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
“Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe juga menghantar satu nota jelas bahawa sektor kerajaan dan swasta perlu mempertimbangkannya.
“Saya rasa Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) juga akan mempertimbangkannya di bawah kepemimpinan Perdana Menteri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Makio berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima respon rasmi daripada institusi perbankan berkaitan perkara berkenaan.
“Ini memandangkan permintaan oleh Malaysia itu hanya dilakukan dalam beberapa hari lalu tetapi kita mengalu-alukan respons positif dari mereka,” katanya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengadakan kunjungan rasmi di Jepun baru-baru ini telah meminta bantuan daripada Jepun untuk mengatasi masalah kewangan yang dialami dengan memohon diberikan pinjaman mudah pada kadar faedah yang cukup rendah.
Sementara itu Makio berkata, jumlah perdagangan dan pelaburan antara Jepun dan Malaysia dijangka akan meningkat berikutan pentadbiran kerajaan baharu di negara ini.
“Kita berbesar hati untuk bekerjasama untuk mempertingkatkan kekuatan kolaborasi perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara,” katanya.
Berhubung isu pendidikan, beliau memberitahu, permintaan Dr. Mahathir agar lebih banyak universiti Jepun membuka cawangan di negara ini akan diusahakan oleh negara itu secepat mungkin.
“Kita juga ingin menawarkan beberapa peluang pekerjaan kepada mereka yang belajar di universiti Jepun dan mereka yang berminat bekerja di syarikat Jepun, sama ada di Malaysia atau di Jepun,” katanya.











