BAITULMUQADDIS 18 Jun – Beberapa jet tentera Israel melancarkan serangan terhadap sembilan kawasan milik pergerakan Hamas di utara Semenanjung Gaza hari ini.
Serangan itu dilancarkan sebagai tindakan balas berhubung dakwaan rejim Zionis bahawa penduduk Palestin menghantar layang-layang dan belon yang berisi bahan mudah terbakar dan meletup ke arah wilayah diduduki oleh Israel.
Selain itu, tiga roket turut dilancarkan oleh tentera Israel namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan serangan berkenaan.
Rejim Zionis telah melepaskan tembakan amaran dari udara dan memusnahkan harta benda milik penduduk Palestin.
Terdahulu, seorang penduduk Palestin maut ditembak rejim Zionis berhampiran sempadan antara Genting Gaza dan tanah haram Israel.
Menurut jeneral tentera Israel, pihaknya turut mengarahkan dron untuk terbang berdekatan layang-layang berkenaan namun tindakan efektif bagi menghentikan layang-layang itu belum ditemukan.
“Ini adalah tindakan keganasan yang membahayakan penduduk Israel yang tinggal di bahagian selatan dan merosakkan beberapa kawasan lain di wilayah diduduki oleh Israel,” kata kenyataan dikeluarkan oleh rejim Zionis.
Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Palestin didakwa menerbangkan layang-layang dan belon yang berisi bahan mudah terbakar dan meletup ketika bantahan di sepanjang sempadan Gaza-Israel bermula pada 30 Mac lalu. – REUTERS/AFP










