TEXAS 18 Jun – Seramai lima pendatang asing maut manakala beberapa lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada pasukan Pengawal Sempadan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 145 kilometer di utara sempadan Mexico.
Menurut Sherif Daerah Dimmit, Marion Boyd, mangsa yang tercedera dibawa keluar daripada kenderaan jenis Chevy Suburban yang sarat dengan 14 penumpang dan dipandu pada kelajuan 160 kilometer sejam.
Kenderaan itu dilaporkan terbabas dan terbalik ketika pemandunya cuba membetulkan semula haluan, menyebabkan beberapa orang tercampak keluar.
“Kami telah melihat kejadian seperti ini berulang kali, bukan sahaja di daerah ini malah daerah lain sepanjang sempadan.
“Insiden ini merupakan contoh terbaik mengapa sempadan kita perlu diawasi dengan baik,” kata Boyd.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam AS dalam satu kenyataan menjelaskan, kejadian itu dikatakan berlaku selepas pasukan Pengawal Sempadan mengenal pasti tiga kenderaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Pasukan Pengawal Sempadan berjaya menahan dua kenderaan berkenaan dan melakukan penangkapan namun kenderaan ketiga tidak berjaya dihalang dan mereka cuba melarikan diri.
Pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya ditahan sejurus selepas kemalangan terbabit. – REUTERS










