TOKYO 18 JUN – Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan jumlah mangsa korban dijangka terus meningkat selepas gempa bumi sekuat 6.1 pada skala Richter melanda Osaka awal pagi ini, selain menjejaskan banyak operasi kilang dan memusnahkan saluran air.
Stesen penyiaran Jepun, NHK melaporkan, setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan dan Perdana Menteri, Shinzo Abe memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil kira semua aspek terutamanya keselamatan penduduk dalam menghadapi bencana yang berlaku.
Rakaman secara langsung menunjukkan beberapa saluran paip utama pecah dan kediaman terbakar selepas gempa bumi melanda sebelum pukul 8.00 pagi waktu tempatan, selain lebih 300 penduduk dilaporkan cedera.
Agensi Meteorologi Jepun menyatakan pusat gempa terletak di utara bandar Osaka dan pada mulanya meletakkan ukuran gempa sekuat 5.9 sebelum dinaikkan kepada 6.1 pada skala Richter.
Gempa tersebut juga dilaporkan menjejaskan kawasan perindustrian di tengah Jepun termasuk syarikat elektronik terkenal, Panasonic yang terpaksa menghentikan pengeluaran di dua kilangnya yang menghasilkan peralatan lampu dan projektor.
Syarikat permotoran Daihatsu Co. turut menggantung operasinya di Osaka dan Kyoto bagi memeriksa jika terdapat sebarang kerosakan berlaku akibat gempa tersebut.
Media Jepun melaporkan seorang warga emas berusia 80 tahun dan kanak-kanak perempuan, 9, maut selepas dihempap dinding bangunan yang runtuh, manakala seorang lelaki berusia 80-an terbunuh di sebalik timbunan rak buku yang jatuh ketika gempa berlaku.
Seorang pelancong Amerika Syarikat (AS), Kate Kipatrick, 19, yang tinggal di sebuah hotel di Osaka memberitahu, satu gegaran kuat berlaku ketika gempa melanda.
“Keadaan ketika itu sangat menakutkan kerana ini merupakan kali pertama saya berdepan dengan gempa bumi,” katanya.
Dalam itu, tiada sebarang aktiviti luar biasa dikesan di Mihama, Takahama dan loji nuklear Ohi setakat ini, selain lebih 170,000 penduduk di Osaka dan kawasan kejiranan Hyogo terputus bekalan elektrik namun sudah disambung semula dalam tempoh dua jam.
Selain itu, syarikat Honda Co. turut mengambil langkah menghentikan sementara operasi di kilangnya di Shizuka dan diteruskan semula selepas tiada kerosakan dikesan.
Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter pernah melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011, menyebabkan tsunami besar berlaku dan meragut kira-kira 180,000 nyawa, selain menjejaskan banyak loji nuklear. – REUTERS










