MOSCOW 18 Jun – Di sebalik pemecatan jurulatih ketika 71 hari lagi menjelang Piala Dunia, Jepun tetap akan membuktikan keupayaan mereka berdepan Colombia, yang ‘berpeluh’ dengan tahap kecergasan bintang James Rodriguez.
Penjaring terbanyak edisi lalu di Brazil itu diragui kecergasannya untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H di Arena Mordovia, Saransk selepas bergelut kecederaan betis yang dialaminya pada Februari lalu.
Pemain tengah Bayern Munich merupakan watak penting untuk Colombia mengulangi pencapaian mereka mara ke suku akhir seperti yang berlaku dalam Piala Dunia empat tahun lalu.
Rodriguez, 26, menjaringkan enam jaringan dan mencipta empat gerakan gol untuk membantu Colombia layak ke Rusia.
Selain bekas jentera Real Madrid itu, pemain tengah Wilmar Barrios turut bergelut dengan kecergasan.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Colombia, Philippe Troussier berpendapat, skuad La Tricolor tidak perlu gusar dengan ketiadaan bintangnya memandangkan potensi Jepun untuk mara ke peringkat kalah mati sangat tipis.
Dalam satu temubual bersama AFP, Troussier berkata, Blue Samurai tidak berpeluang biarpun mereka di bawah kendalian pengendali Manchester United, Jose Mourinho atau bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger selepas memecat jurulatihnya Vahid Halilhodzic.
“Sekalipun beraksi di bawah bimbingan Mourinho dan Wenger, ia tetap menyukarkan Jepun untuk mara ke peringkat 16 terakhir,” kata pengendali dari Perancis itu, yang pernah membimbing Jepun dalam Piala Dunia 2002. – AGENSI










