Dua warga Myanmar maut ditimpa dahan rhu - Utusan Malaysia

Dua warga Myanmar maut ditimpa dahan rhu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 18 Jun – Dua rakyat Myan­mar termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut dihempap dahan pokok rhu yang patah dalam kejadian ribut di Pantai Irama, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.23 malam itu, Ibrahim Budi Alam, 3, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala Norjim Nurul Amin, 24, juga cedera parah di kepala dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bachok tetapi disahkan telah me­ninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azmi Mokhtar berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang bersaudara itu sedang beriadah di kawasan pantai berkenaan bersama-sama keluarga mereka sempena cuti Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mayat mangsa yang tinggal di Kampung Babong, Kedai Lalat, Kota Bharu, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas kejadian itu, Ketua Jajahan Bachok Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, pihak­nya akan segera memasang papan amaran supaya orang ramai menjaga keselamatan diri semasa berada di sekitar pusat pelancongan itu terutama ketika ribut.

“Sebelum ini, sudah ada papan amaran supaya pengunjung tidak mandi manda di pantai berkenaan ketika laut bergelora bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini