NIZHNY NOVGOROD 18 Jun – Sweden terpaksa bekerja keras untuk membolosi gawang Korea Selatan sebelum berjaya mengesahkan kemenangan dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2018 menerusi sepakan penalti pada minit ke-65 di Stadium Nizhny Novgorod, sebentar tadi.
Gol berkenaan dijaringkan pemain pertahanan Sweden, Andreas Granqvist selepas pengadil perlawanan merujuk keputusan daripada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan penalti.
Lebih manis ini juga adalah kali pertama Sweden meraih kemenangan sewaktu aksi pembukaan mereka dalam kempen Piala Dunia sejak 1958.
Kemenangan tersebut membolehkan Sweden berada dalam kelompok dua terbaik Kumpulan F berkongsi tiga mata dengan Mexico yang meraih kemenangan ke atas Jerman semalam.
Selepas ini Sweden bakal berdepan penyandang juara Jerman pada Ahad ini manakala Korea Selatan bertemu Mexico sehari sebelum itu. – AGENSI










