TEBING BARAT 16 Jun – Beberapa bank Israel didakwa terlibat sepenuhnya dalam pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat dan boleh dituduh melakukan jenayah peperangan.
Menurut pertubuhan Human Rights Watch (HRW), bank-bank berkenaan menyumbangkan sejumlah dana terhadap projek penempatan haram terbabit.
“Penglibatan bank dalam urus niaga ini melibatkan rampasan harta persendirian dalam situasi tertentu yang dikatakan melanggar undang-undang peperangan,” jelas Pengarah Pembela HRW Israel/Palestin, Sari Bashi dalam artikel diterbitkan awal minggu ini seperti dipetik portal Russian Today.
Bashi memberi contoh penglibatan Bank Leumi dan pemaju, Zemach Hammerman dalam membina penempatan haram baharu Yahudi di Alfei Menashe.
Kedua-dua pihak dilihat membuat satu perjanjian yang direka untuk melindungi pelaburan pembeli rumah dan taktik serupa digunakan dalam pembangunan penempatan haram lain.
“Bank-bank Israel sering me- lakukan perjanjian seperti itu yang tidak tertakluk pada pembiayaan semata-mata dan menjalinkan hubungan rapat dengan para pemaju untuk memperluaskan penempatan haram Yahudi dengan cara merampas tanah milik penduduk Palestin.
“Bank-bank berkenaan turut memperoleh faedah pemilikan dalam projek itu, mengawasi pembinaannya, memberikan dana pembeli rumah mengikut perkembangan pembinaan dan pemilikan penempatan hanya diberikan selepas projek disiapkan,” jelas Bashi.
Bulan lalu, HRW mengeluar- kan laporan berhubung isu berkenaan yang dikenali sebagai ‘Penyalahgunaan Pembiayaan Bank’, menjelaskan mengenai penglibatan penuh bank-bank Israel dalam pembinaan penempatan haram di Tebing Barat.
Dalam perkembangan lain, Israel dilaporkan mengehadkan kemasukan gas helium ke Genting Gaza selepas bahan tersebut didakwa digunakan untuk membuat bom.
Bagaimanapun, penghantaran gas berkenaan diperlukan bagi tujuan perubatan kerana gas helium adalah penting untuk digunakan sewaktu pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Semalam, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah-wilayah Is- rael (COGAT), Mejar Jeneral Kamil Abu Kokun berkata, jika penggunaan helium digunakan bagi tujuan serangan tidak dihentikan, maka seluruh bekalan bahan terbabit akan disekat.
Keputusan itu dibuat selepas penduduk Palestin didakwa meletakkan bahan mudah terbakar dan bahan letupan pada belon serta layang-layang dan dihantar kepada tentera Israel.
Taktik berkenaan digunakan ketika protes Great Return March sejak 30 Mac lalu.











