ARAU – Kerajaan negeri Perlis akhirnya terbentuk dengan sempurna apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Balai Menghadap, Istana Arau di sini hari ini.
Kesemua lapan Exco itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
Turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mendahului pada majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu ialah ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad.
Selain itu, Teh Chai Ann (Titi Tinggi), Ruzaini Rais (Beseri), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Azizan Sulaiman (Santan) dan Hamizan Hassan (Kayang).
Turut dilantik ialah Rozieana Ahmad (Pauh) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat).
Namun, ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim tidak hadir pada majlis itu dan difahamkan tidak tersenarai menganggotai senarai Exco bagi negeri Perlis.
Krisis politik di Perlis bermula apabila pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man pada 24 Mei tidak dipersetujui sembilan ADUN BN yang lain menyebabkan pembentukan kerajaan negeri terta ngguh selama 21 hari sehingga hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.
Namun, Perlis merupakan negeri terakhir di negara ini yang melantik Menteri Besar dan pembentukan kerajaan negeri selepas PRU-14. – K! ONLINE











