IPOH – Jari telunjuk tangan kanan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hancur selain tapak tangannya melecur akibat bermain mercun bola di rumahnya di Malim Nawar semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa sedang bermain mercun berkenaan bersama adiknya di halaman rumah.
Mangsa yang ketika itu sedang cuba membakar mercun tersebut terkejut apabila ia secara tiba-tiba meletup di tapak tangan kanannya.
Letupan tersebut mengakibatkan tapak tangan kanan mangsa melecur teruk selain jari telunjuknya hancur.
Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Sementara itu nenek mangsa, Halimah Samad, 60, berkata, kejadian menimpa cucunya itu disedari mereka sekeluarga selepas terdengar mangsa menjerit kesakitan.
Katanya, dia kemudiannya terkejut apabila melihat tangan cucunya itu dalam keadaan berlumuran darah dengan jari telunjuknya hancur.
“Cucu saya dan adiknya yang berusia enam tahun bermain mercun itu tanpa pengetahuan kami sekeluarga. Kami juga tidak tahu di mana mereka ambil mercun itu.
“Mereka mengatakan bahawa menemui mercun itu di kawasan belukar berhampiran rumah,” katanya. – K! ONLINE











