JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan untuk tidak membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura sebaliknya menangguhkan projek itu adalah satu langkah yang wajar dan menunjukkan pendirian yang saksama.
Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, industri rel yang bakal wujud menerusi projek HSR merupakan satu bidang baharu serta mempunyai potensi luas dan akan memberi peluang rakyat untuk ceburi.
Menerusi projek HSR itu juga, katanya, negara boleh membangunkan pusat kecemerlangan industri rel sama seperti negara membina Menara Berkembar Petronas KLCC dan Litar Formula Satu, suatu ketika dahulu.
“Rakyat bakal mendapat faedah tidak langsung yang sangat bermakna. ‘Feel good factor’ amat di perlukan supaya dunia memandang tinggi terhadap hala tuju negara kita.
“Bagi rakyat Johor pula, cuba kita bayangkan dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi pusat kecermerlangan industri rel manakala di Skudai, depoh bagi tujuan latihan penyelenggaraan dan pembaikan di atas tanah seluas 250 ekar (101 hektar) akan dibina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hasni, semua itu sudah tentu akan membuka peluang latihan dan pekerjaan yang banyak kepada rakyat amnya dan masyarakat Johor khususnya.
“Semasa saya menjadi Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, saya turut menerima taklimat daripada MyHSR dan kos infrastruktur membangunkannya adalah sekitar RM26 bilion dan ia adalah kos yang kompetitif,” ujarnya.
Jelasnya, kos RM110 bilion yang dinyatakan sebelum ini tidak melibatkan pilihan yang ada berikutan kos sistem dan gerabak daripada jenama yang mahal.
Tambahnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sebelum ini ada menerima tawaran untuk pembiayaan secara percuma daripada syarikat swasta yang berminat untuk membina salah satu stesen utama dan menyelenggara stesen tersebut untuk tempoh 10 tahun.
“Itu juga dapat mengurangkan kos yang ditanggung oleh kerajaaan,” katanya. – K! ONLINE











