KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta dipandunya dalam Op Selamat 13 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di Plaza Tol Duta arah Selatan di sini awal pagi tadi.
Lelaki berkenaan dipercayai berbuat demikian bagi mengelakkan kereta dipandunya itu dirakam oleh kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (Kepolisan Am/ Siasatan/ Sumber) Asisten Komisioner Md. Dali Wahid berkata, tindakan licik lelaki berkenaan dapat dikesan oleh anggotanya selepas melakukan pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda City milik lelaki tersebut.
“Lelaki berkenaan didapati telah menukar nombor pendaftaran palsu kepada yang asal ketika ditahan namun pemeriksaan lanjut telah menemui nombor pendaftaran palsu itu di dalam kereta tersebut.
“Dia kini ditahan bersama keretanya dan kes disiasat dibawah Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam satu sidang akhbar di lokasi operasi di sini.
Operasi dengan kekuatan 9 pegawai kanan polis dan 32 anggota itu turut disertai oleh seorang pegawai serta enam anggota dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Menurut Md. Dali, setakat pukul 2 pagi operasi berkenaan dijalankan, sebanyak 105 saman telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.
“Sebanyak 27 saman telah dikeluarkan kepada pemandu bas ekspres dan lori yang dikesan memandu melebihi had laju manakala 78 saman lagi dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan mengubah suai motosikal, tdak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.
Kosmo! difahamkan, operasi berkenaan memfokuskan kepada kenderaan seperti bas dan lori memandangkan kebelakangan ini banyak berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres.
“Pihak kami banyak menerima aduan berkenaan pemandu bas yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memandu melebihi had laju.
“Diharapkan operasi sebegini mampu mengelakkan perkara tersebut daripada berulang dan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya yang membabitkan bas ekspres,” ujar beliau.
Operasi yang bermula sekitar pukul 12 tengah malam itu melabuhkan tirainya kira-kira tiga jam kemudian. – K! ONLINE











