KUALA LUMPUR – Fortinet Inc. (Fortinet) bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan menerusi agensinya bagi menawarkan produk penyelesaian keselamatan siber keluaran syarikat sebagai perlindungan daripada ancaman digital.
Pengurus Negara Fortinet Malaysia, Alex Loh (gambar) berkata, ketika ini, sektor kerajaan merupakan antara tiga segmen penyumbang utama kepada perolehan syarikat, selain telekomunikasi dan perkhidmatan kewangan.
“Sektor kerajaan menyumbang kira-kira 18 hingga 20 peratus kepada perolehan Fortinet Malaysia, hampir sama dengan sektor perkhidmatan kewangan.
“Sektor telekomunikasi pula menjadi penyumbang utama iaitu antara 25 hingga 30 peratus, sejajar dengan langkah syarikat-syarikat telekomunikasi yang sememangnya memberi keutamaan kepada sistem keselamatan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat media dan majlis berbuka puasa Fortinet di Hotel Le Meridean di sini baru-baru ini.
Selain tiga sektor tersebut, pelanggan Fortinet turut terdiri daripada sektor pendidikan, perkilangan dan runcit.
Ditanya mengenai perancangan perniagaan bagi Fortinet Malaysia, Alex berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal tambahan bernilai AS$1 juta (RM3.9 juta) bagi tempoh tiga tahun akan datang.
“Ia akan digunakan untuk tujuan pertambahan kakitangan, kemudahan pejabat serta pelaburan bagi produk-produk yang akan diperkenalkan.
“Langkah ini membuktikan komitmen kami dalam mengukuhkan kedudukan Fortinet dalam segmen penyelesaian keselamatan siber, sejajar dengan persekitaran semasa yang berdepan dengan ancaman siber yang amat hebat,” ujarnya.











