SEBERANG PERAI – Seorang lelaki disyaki penagih dadah berusia 51 tahun dicekup bersama sejumlah dadah disyaki jenis heroin dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Butterworth di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan pada pukul 12.01 pagi itu, pihak polis merampas dadah berkenaan yang seberat kira-kira 18 gram iaitu masing-masing satu paket plastik lutsinar dan tiub penyedut minuman di dalam sebuah bilik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, hasil siasatan mendapati dadah berkenaan yang bernilai kira-kira RM320 adalah bagi kegunaannya sendiri.
Menurutnya, ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan Methamphetamine.
Noorzainy berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











