PAPAR – Seorang penganggur yang sedang bersarapan diberkas bersama syabu seberat 97 gram di sebuah pondok di kampung setinggan skim penempatan Kinarut di sini hari ini.
Serbuan pada pukul 7 pagi itu melibatkan tangkapan seorang suspek lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran di kawasan sekitar.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kesemua dadah yang dirampas mampu memenuhi permintaan kira-kira 2,000 penagih dengan keuntungan mencecah sehingga RM50,000.
“Hasil risikan polis dan maklumat awam, polis berjaya menangkap seorang lelaki yang aktif melakukan pengedaran dadah di kawasan sekitar terbabit.
“Selain itu, kami turut merampas peket berisi dadah dipercayai syabu dan beberapa peket kosong untuk mengisi dadah sebelum diedarkan kepada pengguna,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini hari ini.
Tambah Ladamah, setiap bungkusan syabu yang telah diisi di dalam peket-peket itu dijual pada harga antara RM30 hingga RM60 sepeket.
“Maklumat juga mendapati suspek mendapatkan bekalan syabu pada harga kira-kira RM7,000 dan mengaut keuntungan berganda daripada hasil jualannya,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











