ALOR SETAR – Markas 6 Briged melalui Pasukan 4 Rejimen Sempadan berjaya merampas sebanyak 115 kilogram daun ketum yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand berhampiran Pos Batu 34, Padang Terap dekat sini semalam.
Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Azizi Ismail berkata, rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM10,350 itu dilakukan oleh empat anggotanya yang diketuai Koperal Nor Johari Ismail kira-kira pukul 9.45 pagi.
“Anggota yang sedang melakukan rondaan itu menemui beberapa bungkusan plastik hitam dan guni putih di kawasan semak.
“Hasil pemeriksaan mendapati plastik hitam dan guni putih itu mengandungi daun ketum yang telah siap diikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, barang rampasan tersebut kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE











