KUCHING – Seramai 82 individu ditahan selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi 60 serbuan yang dilakukan polis sepanjang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua individu yang dicekup itu berusia antara 17 hingga 56 tahun.
Jelas beliau, hasil serbuan polis telah merampas wang tunai berjumlah RM9,265 disyaki hasil daripada aktiviti perjudian haram berkenaan.
“Polis turut merampas merampas 64 unit telefon bimbit, slip pertaruhan, alat judi holo serta barangan lain yang dipercayai digunakan dalam menjalankan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dennis menambah, serbuan berasingan yang bermula dari 4 hingga 10 Jun lalu telah dijalankan di 21 daerah di negeri ini.
Katanya, antara daerah terlibat dalam serbuan berkenaan ialah Limbang, Saratok, Maradong, Marudi, Sarikei, Serian, Kapit, Kanowit, Julau, Betong, Simunjan, Lawas, Dalat, Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Bau, Mukah dan Bintulu.
“Polis telah melakukan 35 serbuan di pusat menjual loteri haram, 22 serbuan (premis judi siber), dua (tempat judi terbuka) dan satu (gelanggang judi sabung ayam),” ujarnya lagi.
“Buat masa ini, kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. – K! ONLINE











