KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri masing-masing didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini kerana mencederakan anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan penyangkut baju pada Januari lepas.
Hakim Syafeera Mohd. Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Syazreen Zulkeple, 26, dan Nurul Izwana Ibrahim, 29, selepas pasangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mohamad Syazreen, pencuci kereta dan isterinya Nurul Izwana, suri rumah didakwa dengan niat bersama mencederakan kanak-kanak itu yang merupakan anak tiri Mohamad Syazreen di sebuah premis di Kampung Sahabat, Gombak di sini pada pukul 1.51 petang, 27 Januari lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Mohamad Syazreen dan Nurul Izwana membayar denda tersebut. – Bernama











