KUALA LUMPUR 11 Jun – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersetuju dengan cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sudah mencecah usia 20 tahun.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, walau bagaimanapun, penaiktarafan dengan memperbesarkan bangunan KLIA memerlukan pembinaan secara fizikal dan tanah perlu dibeli terlebih dahulu.
Oleh sebab itu, katanya, syarikat penerbangan perlu mencari cara yang lebih baik bagaimana untuk mengatasi masalah kesesakan di kaunter tertentu sama ada di balai ketibaan atau balai pelepasan.
“Lapangan terbang sebenarnya boleh menampung lebih banyak penumpang daripada jumlah kapasiti sedia ada dengan syarat ruang digunakan dengan lebih efektif dan lebih cekap.
“Untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan, syarikat penerbangan perlu cari jalan untuk memperbaharui sistem seperti daftar masuk penumpang dan proses memasukkan bagasi masing-masing secara automatik supaya penumpang tidak perlu lagi ke kaunter,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat mengenai status KLIA yang perlu segera dinaik taraf ekoran kesesakan yang telah menyebabkan penurunan dari segi kualiti dan kecekapan perkhidmatannya.-UTUSAN ONLINE











