ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kedah melabelkan Pas sebagai tamak dan gila kuasa untuk memerintah apabila membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Kedah susulan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Dr. Ismail Salleh berkata, kenyataan pemimpin Pas yang menjangkakan berlaku PRN di negeri ini menyerlahkan sikap sebenar parti itu yang tidak memahami mesej rakyat dan tamak kerana inginkan kuasa dengan cara tidak betul.
“Ekoran keputusan yang sebegitu, Pas telah menampakkan sifat sebenar mereka iaitu gila kuasa untuk memerintah Kedah dengan mencadangkan juga sebuah kerajaan perpaduan di Kedah tetapi malangnya telah di tolak oleh Pakatan Harapan (PH) Kedah.
“Kalau Pas benar-benar ikhlas, buatlah kerajaan perpaduan itu di Kelantan dan Terengganu terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! 10 Jun lalu melaporkan Pas yakin menawan Kedah jika PRN benar-benar diadakan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, PH memenangi 18 kerusi DUN, Pas 15 dan Barisan Nasional (BN) tiga. – K! ONLINE











