KUALA LUMPUR 10 Jun – Pemegang tunggal francais kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) mengumumkan harga baharu bagi model Renault berikutan pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn. Bhd., Kuan Kim Luen berkata, pihaknya turut menawarkan insentif tambahan dalam bentuk rebat tunai terhadap model-model terpilih dengan gabungan penjimatan mencecah RM40,000.
Menurut beliau, TCEC akan menyerap enam peratus GST bagi kenderaan yang didaftar serta-merta.
“Harga sifar GST ini akan kekal sehingga pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kelak. Para pelanggan juga boleh menikmati rebat tambahan pada model-model tertentu.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk membeli sebuah Renault. Jenama ini sesuai bagi mereka yang sedang mencari kenderaan bergaya, berkualiti dan memiliki standard keselamatan kereta Eropah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Model dengan unit terhad, Renault Fluence kini berharga RM79,888 selepas sifar GST dan insentif tambahan sekali gus menawarkan penjimatan terbesar sehingga RM40,000 berbanding harga lama RM119,888.
Selain itu, harga baharu model-model lain di Semenanjung Malaysia seperti Koleos 4WD adalah RM189,888, Koleos 2WD Signature (RM179,888); Koleos 2WD (RM159,888); Captur baharu yang dipertingkat (RM95,999) dan Captur pradipertingkat (RM89,999).
Kim Luen menambah, model-model berkenaan turut hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Katanya, harga sifar GST bagi model Captur termasuk pakej selepas jualan yang merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (alat ganti dan kos buruh) selama lima tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer mana-mana yang tiba dahulu.
“Terdapat juga jaminan pengeluar sehingga lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma, perkhidmatan mengambil dan menghantar sewaktu penyelenggaraan berjadual dan Khidmat kereta gantian jika mana-mana alat ganti tidak dapat diperoleh selama lebih 48 jam,” ujar beliau.











