KUALA LUMPUR 10 Jun – Di sebalik spekulasi kononnya berlaku ‘perang dingin’ antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang percaya kedua-dua pemimpin itu kini telah berubah serta tidak akan mengulangi krisis politik yang sama seperti semasa 1998.
Menurut Kit Siang, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memperlihatkan tumbangnya Barisan Nasional (BN) menjadi antara faktor mengubah pendekatan Dr. Mahathir dan Anwar.
Bagi beliau, Dr. Mahathir telah menunjukkan perubahan dan akan berperanan penting untuk memacu kejayaan negara berlandaskan kepelbagaian latar belakang masyarakat.
“Saya rasa semua kita telah berubah. Dr. Mahathir, Anwar bersama kesemua pemimpin dalam Pakatan Harapan sudah belajar untuk menjadi manusia lebih baik, menjadi pemimpin lebih baik, sensitif dan lebih wajar.
“Saya percaya Dr. Mahathir kini sangat berbeza berbanding sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003. Beliau berubah daripada berkuasa mutlak kepada corak melibatkan pelbagai pihak,” katanya dalam temu bual yang turut dimuat naik dalam akaun Twitter hari ini.
Penasihat DAP itu berkata, beliau ada terdengar cakap-cakap mengenai mungkin berlaku sekali lagi pertelagahan antara Dr. Mahathir dan Anwar, namun percaya hal tersebut tidak akan berulang.
Jelasnya, gabungan Pakatan Harapan kini menjadi lebih stabil malah percaya Malaysia akan berada dalam kedudukan yang baik di bawah tadbir urus Dr. Mahathir dan Pakatan Harapan.
Kit Siang juga berkata, kemampuan Pakatan Harapan memenangi PRU-14 serta merampas beberapa buah negeri seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah adalah sesuatu yang beliau tidak jangkakan.
Jelasnya, kemungkinan utama mengubah landskap politik dalam pilihan raya lalu ialah bilangan pengundi yang tinggi keluar mengundi, sokongan daripada pengundi bandar dan pinggir bandar serta sokongan pengundi luar bandar yang dilabelkan sebagai tsunami Melayu.











