Tolak persepsi bertanding pemilihan UMNO mesti ‘poket tebal’ - Fariz - Utusan Malaysia

Tolak persepsi bertanding pemilihan UMNO mesti ‘poket tebal’ – Fariz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang aktivis, Fariz Hadi mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan parti itu.

Ketika ditemui di sini hari ini, beliau menegaskan keputusannya itu dibuat kerana mahu melaksanakan perubahan dalam UMNO yang ketika ini amat memerlukan kepimpinan serta idea baharu bagi mengembalikan semula keyakinan dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu selepas Barisan Nasional (BN) ditolak daripada terus menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Malah, beliau turut meminta seluruh ahli UMNO supaya mengikis persepsi kononnya mana-mana pihak yang bertanding sebarang jawatan dalam parti perlu mempunyai ‘poket tebal’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persepsi seperti ini (calon mesti berpoket tebal) amat salah sama sekali. UMNO tidak akan boleh pergi jauh apatah lagi untuk mendapat kepercayaan daripada rakyat jika persepsi sedemikian masih terus ada dalam parti.

“Sebaliknya, pemilihan kepimpinan parti perlu berasaskan kepada pengalaman, bakat, kebolehan selain latar belakang calon yang berintegriti,” katanya yang menyatakan akan terus mempertahankan kedudukan Islam dan hak orang Melayu selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Fariz yang ketika ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam pernah mencuri tumpuan masyarakat melalui media sosial apabila tampil bertanyakan soalan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam semasa Forum Nothing To Hide 2.0 di Seksyen 7, di sini pada Ogos tahun lalu.

Semasa program itu, Fariz dikatakan telah membangkitkan beberapa soalan kepada Dr. Mahathir antaranya sama ada tuduhan terhadap bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai salah laku liwat sebelum ini benar-benar wujud atau hanya direka-reka sebagai mangsa politik.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan kecewa kerana persoalan yang dikemukakannya tidak dijawab oleh Dr. Mahathir semasa program berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini