PELABUHAN KLANG 9 Jun – Bahang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dirasai apabila ribuan warga Indonesia mula membanjiri Jeti Asa Niaga Harbour City di sini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tinjauan Mingguan Malaysia di jeti tersebut mendapati kemeriahan yang cukup luar biasa apabila golongan perantau itu sanggup bersesak mendapatkan tiket perjalanan menuju ke Jeti Tanjung Balai Asahan, Sumatera dan Jeti Dumai.
Salah seorang penumpang, Ramadania Marjohan, 47, berkata, dia telah membeli tiket menaiki feri sejak Khamis lalu untuk pulang ke kampung di Batu Bara, Sumatera.
“Saya sudah lebih 10 tahun bekerja sebagai pembantu rumah dan bersyukur majikan membenarkan saya pulang untuk berhari raya bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu bagi peniaga, Aldiansyah Zainuddin, 36, dia tidak akan melepaskan peluang untuk pulang berhari raya setiap tahun.
“Setiap tahun saya pasti pulang untuk berjumpa keluarga kerana ini sahaja masa yang ada untuk meluangkan masa bersama-sama. Pada tahun ini, saya bercuti hampir dua minggu untuk beraya bersama keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu bagi Rifdahanim Rahab, 39, pada kali ini dia akan pulang dahulu ke Medan bersama enam anaknya yang berusia antara satu hingga 15 tahun.
“Suami merupakan warga tempatan akan pulang lewat ke kampung kerana perlu bekerja. Saya tidak sabar untuk berhari raya bersama keluarga kerana mahu bertemu dengan keluarga dan sanak-saudara,” katanya.
Sementara itu Pengarah Eksekutif ASA Group, Azrin Shaari berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 35,000 penumpang akan menaiki feri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selama tujuh hari bermula hari ini.
“Saya difahamkan, ada penumpang yang telah berkumpul sejak pukul 10 malam semalam untuk membeli tiket, namun kaunter hanya dibuka pada pukul 5 pagi sebelum feri pertama berlepas tiga jam berikutnya.
“Bagi melancarkan perjalanan, saya memohon supaya penumpang membeli tiket lebih awal supaya jadual perjalanan lancar dan teratur,” katanya sambil memberitahu tiket ke Tanjung Balai Asahan berharga RM140 manakala ke Dumai, RM135.











