JURULATIH Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir (gambar) menyifatkan persembahan anak-anak buahnya sebagai menakjubkan apabila berjaya menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 2-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin.
Skuad Gergasi Merah bakal berdepan pasukan sama Ahad ini untuk aksi ke-15 Liga Super di Stadium Shah Alam dan pengendali pasukan wakil Lembah Klang tersebut percaya para pemainnya akan mampu mengulangi aksi cemerlang untuk membenam skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.
Nazliazmi mengakui para pemainnya mula menunjukkan aksi konsisten seperti perlawanan minggu lalu ketika mereka menewaskan Kelantan 4-0 di venue sama di hadapan penyokong sendiri.
“Ia bukan laluan yang mudah untuk kami memperoleh kemenangan pada aksi kali ini kerana PKNS FC mempunyai barisan pemain yang hebat dan berkualiti.
“Bagaimanapun, pemain telah menjalankan tugas mereka dengan baik serta mengikut segala arahan yang diberikan.
“Kesungguhan mereka juga dapat dilihat pada sesi latihan yang dijalankan sebelum ini kerana pemain mempunyai harapan besar untuk memungut tiga mata sekali gus memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Pada aksi itu, jaringan Rufino Segovia pada awal permainan dan disusuli gol Evan Dimas sudah cukup memadai buat Selangor menafikan hasrat PKNS FC untuk berkongsi satu mata selepas Safee Sali sebelum itu berjaya menjaringkan gol pada minit ke-43.
Nazliazmi memberitahu, Rufino terpaksa dikeluarkan awal pada pertembungan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga meskipun dia mengalami kecederaan yang ringan.
“Tindakan tersebut dilakukan kerana kami dijadualkan berdepan empat perlawanan pada bulan ini. Oleh itu, faktor kecergasan pemain perlu diambil kira dengan baik.
“Walaupun penyerang import tersebut dikeluarkan, namun Muhammad Faizzudin Mohd. Abidin yang dibawa masuk selepas itu tetap menunjukkan aksi yang positif buat pasukan,” ujarnya.











